RAMAI ibu terutama yang
baru saja melahirkan anak risau apabila bayi mereka mengalami jaundis. Terpaksa
berulang-alik ke hospital untuk menjalani ujian darah sangat memenatkan. Lebih
teruk apabila si ibu dan bayi terpaksa ditahan di hospital kerana harus
menjalani rawatan fototerapi.
Apa yang membuatkan keadaan
bertambah kusut apabila orang di sekeliling mencadangkan agar menggunakan
pelbagai kaedah tradisional seperti bayi diberi minum susu kambing, berjemur di
bawah matahari, mandi dengan air kunyit atau herba sehingga si ibu sendiri
keliru mana satu yang harus diikuti. Petua ini mungkin juga berguna, mungkin
juga sebaliknya atau akan membuatkan keadaan bertambah teruk.
Rata-rata ibu percaya
kaedah tradisional sangat membantu bagi mengurangkan masalah demam kuning di
kalangan bayi. Ini kerana wujud tekanan atau rasa panik bagi ibu apabila bacaan
jaundis pada bayi semakin meningkat. Ini ditambah dengan kurangnya ilmu
pengetahuan mengenai jaundis yang dianggap masalah serius pada bayi.
Menurut Pakar
Kardiologi Pediatrik, Hospital Perubatan Pantai, Dr Azam Mohd Nor, jaundis atau
demam kuning di kalangan bayi adalah perkara normal.
Dianggarkan 60 hingga 70
peratus bayi baru lahir mengalami gejala ini.
“Jaundis merujuk kepada
bayi yang mempunyai tanda seperti bahagian putih mata dan kulit yang berwarna
kekuningan. Warna ini dapat dilihat dengan lebih jelas pada bahagian muka, dada,
perut dan kaki apabila kulit bayi ditekan lembut dan akan bertukar kekuningan,”
katanya.
Bagi ibu-ibu muda, Dr Mohd Azam menasihatkan
supaya jangan risau sekiranya selepas dua hari dilahirkan bayi mengalami
demam kuning kerana ini adalah fenomena biasa apabila darah pada
bayi menjadi rosak, pecah dan dicernakan di dalam hati. Pencernaan dan
penguraian komponen dalam darah ini akan menghasilkan bilirubin.
Peningkatan bilirubin inilah yang dapat dikesan melalui kekuningan pada tubuh bayi,” katanya.
Ibu bapa perlu merujuk kepada doktor dengan segera sekiranya demam kuning dikesan dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran yang membabitkan bahagian tangan dan kaki, atau bayi demam melebihi 37.8 darjah Celsius atau bayi kelihatan lemah dan tidak sihat. Ini kerana jaundis dianggap serius dan memerlukan rawatan rapi.
“Biasanya
bilirubin akan dibuang melalui najis dan air kencing. Tetapi apabila
terdapat terlalu banyak darah yang rosak dan pecah kemudian dihuraikan secara
serentak dalam satu masa, tahap bilirubin dalam darah akan
meningkat.
Peningkatan bilirubin inilah yang dapat dikesan melalui kekuningan pada tubuh bayi,” katanya.
Apa yang ibu
bapa perlu tahu setiap bayi mempunyai tahap kuning berbeza dan akan mula dikesan
pada hari kedua atau ketiga selepas kelahiran. Ia mula kelihatan dari kepala dan
turun ke kaki. Jaundis akan kelihatan pada bahagian muka, diikuti dada, perut
dan kaki.
“Pemeriksaan bayi untuk demam kuning biasanya
boleh dibuat di dalam cahaya matahari atau di bawah lampu panjang putih
(fluorescent) dan bukannya mentol kuning kerana ini akan menampakkan kulit bayi
lebih kuning,” jelasnya.
Biasanya bacaan bilirubin akan meningkat pada
hari ketiga, kelima dan ketujuh.
Tahap
bilirubin yang melebihi 85umo1/1 (5mg/dL) akan menunjukkan tanda kekuningan dan
sekiranya meningkat kepada 100umo1/1 ia masih di dalam kawalan.
Namun sekiranya dalam masa seminggu tahap
bilirubin meningkat sehingga melebihi 340umo1/1 atau 21mg/dL, rawatan fototerapi
akan diberikan.
“Bayi akan diletakkan di bawah lampu biru
mengandungi 450 nano water dengan hanya memakai lampin dengan mata ditutup.
Cahaya lampu ini berfungsi menukar bilirubin kepada biliverdin yang lebih ‘mesra
tubuh’ dan akan dikumuhkan menerusi air kencing. Sekiranya rawatan fototerapi
ini gagal menghalang daripada kenaikan tahap bilirubin sehingga mencecah
428umo1/1 atau 25mgd/L, rawatan pemindahan darah terpaksa dilakukan,”
katanya.
Menurut Dr Azam, apabila pemindahan darah tidak
dilakukan dan jaundis berlarutan sehingga 30 hari dikhuatiri bayi
akan menghidap penyakit lain seperti radang hati, saluran darah tersumbat atau
hepatitis. Lebih teruk sehingga menyebabkan kerosakan otak, sawan
serta gangguan pendengaran.
Namun ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kini,
kes pemindahan darah amat jarang berlaku. Ini kerana pemantauan daripada pihak
hospital menyebabkan tahap bilirubin dapat dikurangkan selepas seminggu
kelahiran.
Secara
saintifik, antara faktor paras bilirubin pada bayi normal meningkat disebabkan
oleh:
- Bayi tidak diberikan susu ibu sepenuhnya.
- Jaundis lebih kerap berlaku di kalangan bayi pramatang atau tidak cukup bulan berbanding bayi cukup bulan. Ini kerana hati tidak dapat memproses bilirubin dengan cepat. Usus mungkin tidak berfungsi sepenuhnya, terutama jika mereka sakit dan tidak disusukan.
- Sel darah merah bayi mempunyai tempoh hayat yang lebih pendek dan pecah dengan cepat. Biasa berlaku bagi bayi yang mempunyai G6PD.
- Lebam pada badan bayi yang disebabkan proses kelahiran seperti kaedah vakum yang menyebabkan banyak sel darah merah rosak dan perlu diganti.
- Darah ibu dan bayi tidak sesuai.
- Ibu menghidap kencing manis.
- Penggunaan oxytocin ketika proses kelahiran.
- Bayi lelaki Asia mempunyai peratusan demam kuning yang lebih tinggi dan kerap berbanding bayi perempuan.
Ibu bapa perlu merujuk kepada doktor dengan segera sekiranya demam kuning dikesan dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran yang membabitkan bahagian tangan dan kaki, atau bayi demam melebihi 37.8 darjah Celsius atau bayi kelihatan lemah dan tidak sihat. Ini kerana jaundis dianggap serius dan memerlukan rawatan rapi.
“Ia boleh
disebabkan masalah yang serius pada hati, usus kecil dan kelainan intestinal,
jangkitan atau kelahiran yang trauma atau kelahiran pramatang sebelum 28
minggu,” ujarnya.
Ramai ibu bapa gembira apabila melihat bayi
mereka tidur lena selepas dilahirkan.
Namun menurut Dr Mohd Azam, tidur yang nyenyak
dan berpanjangan sepanjang hari akan menyebabkan bilirubin meningkat.
“Ini kerana bayi tidak dapat menyusu dengan kerap. Sebaiknya kejutkan bayi untuk
menyusu sekerap mungkin. Semakin banyak susu ibu diberikan ini akan menggalakkan
pergerakan usus dan menyebabkan bilirubin dapat dikeluarkan daripada tubuh
menerusi najis. Penyusuan yang bagus apabila bayi disusukan setiap tiga jam
sekali atau lapan hingga 12 kali sehari,” katanya.
Bayi jaundis
perlu dipastikan agar tidak mengalami kekeringan akibat pengambilan cecair yang
tidak mencukupi. Namun ibu dinasihatkan tidak memberikan air masak kerana air
ini tidak memberi sebarang tenaga dan kesan positif kepada bayi.
Selain itu,
bayi yang tidak pandai menghisap, puting susu tenggelam, pembedahan Caesarean,
penggunaan ubat penahan sakit dan bayi yang tidak matang dengan daya menghisap
yang lemah akan mendorong kepada peningkatan bilirubin.
Terdapat juga
jaundis susu ibu yang mengakibatkan kelewatan atau memanjangkan tempoh
pembuangan lebihan bilirubin melalui usus. Biasanya bermula daripada minggu
kedua dan akan hilang selepas beberapa minggu atau beberapa bulan kemudian.
Walaupun mendapat susu mencukupi, bayi masih mendapat jaundis.
Jika kadar
bilirubin terus meningkat, doktor mungkin menasihatkan untuk memberhentikan
penyusuan badan selama dua atau tiga hari. Namun dalam masa ini, ibu
dinasihatkan memerah susu bagi mengekalkan bekalan susu dan boleh meneruskan
penyusuan apabila tahap bilirubin menurun.
Bagi menghasilkan susu ibu yang banyak serta
berkualiti, ibu harus mendapatkan makanan berkhasiat dan seimbang supaya dapat
menghasilkan susu yang banyak serta berkualiti. Paling penting, jangan risau
atau tertekan kerana ini akan menyebabkan pengeluaran susu ibu merosot.
“Jangan
sesekali memberikan susu formula pada bayi sebaik dilahirkan tetapi memberi
lebih banyak rangsangan supaya bayi dapat menghisap dengan sempurna.
Dapatkan bantuan daripada pihak hospital mengenai
teknik menyusu dengan betul serta cara merangsang proses pengeluaran susu,”
nasihatnya.
Selain rawatan di hospital, terdapat pelbagai
petua tradisional yang diamalkan ibu bapa. Sebaiknya ibu bapa jangan terus
melakukannya tanpa mendapatkan pandangan daripada pakar terlebih dulu. Ini
kerana ada antara amalan tradisional ini belum terbukti keberkesanannya.
Antaranya:
Jemur bayi di bawah matahari
Ramai ibu percaya dengan menjemur bayi di bawah
matahari dapat menghilangkan kekuningan. Namun ibu bapa harus memastikan
melakukannya dalam waktu dibenarkan iaitu dari jam 8.30 pagi sehingga 9.30 pagi
selama 10 hingga 15 minit saja.
Sekiranya
bayi didedahkan terlalu lama, dikhuatiri akan menyebabkan masalah lain seperti
kerosakan retina dan strok. Namun kebanyakan pakar perubatan tidak
menggalakkannya kerana hanya cahaya lampu di hospital saja memberi kesan positif
pada bayi.
Minum susu kambing
Memberi bayi minum susu kambing boleh memberi
kesan kepada bayi. Ini kerana belum terdapat sebarang kajian menyatakan susu
kambing mampu mengurangkan tahap bilirubin pada bayi. Malah pemberian yang
keterlaluan akan menyebabkan masalah lain seperti cirit-birit atau radang
usus.
Makan jamu dan halia
Banyak makan jamu yang tidak
diketahui kandungan bahan kimia akan menyebabkan pengurangan enzim yang membantu
dalam penyingkiran bilirubin apabila bayi disusukan. Begitu juga dengan halia
yang boleh menyebabkan bilirubin meningkat. Sebaiknya diambil dalam kadar sederhana saja.
Memberi air glukos pada bayi
Ramai mencadangkan supaya
diberi air glukos kepada bayi bagi mengurangkan masalah demam kuning. Sebenarnya
petua ini amat merbahaya kerana air glukos boleh menyebabkan perut kembung dan
bilirubin tidak dapat dikeluarkan melalui najis.
credit to permatacintaku.blogspot.com
------------------------------------------------------------
Saya adalah wakil Shaklee anda untuk penghantaran serata Malaysia. Hubungi saya di feeza.k@gmail.com atau 0133602633 untuk sebarang pertanyaan.
sy nak share petua nk elakkan jaundis..sy berpantang 4bln lps with MIL..so MIL mndikan baby sy dgn rebusan air pucuk 'beko'(ni bahasa kelantaan,sy xtau istilah dlm bhs standard) even baby sy xde jaundis 10 ari berturt2..alhamdulillah,baby saya xkena jaundis..petua ni just cara nk ikhtiar,selebihnya kita minta dgn Allah...:)
ReplyDelete