Wednesday, 23 July 2014

Home » » 7 Sebab Bayi Menangis Dan Tips Menenangkan Bayi

7 Sebab Bayi Menangis Dan Tips Menenangkan Bayi

Apakah sebab bayi menangis?

Semua bayi menangis pada masa-masa tertentu. Mereka perlu menangis. Bayi baru lahir yang sihat pun akan menangis juga selama satu hingga tiga jam sehari. Oleh kerana mereka tak dapat membuat apa-apapun untuk diri sendiri, bayi bergantung kepada orang lain untuk memberi mereka makanan, kepanasan dan keselesaan yang mereka perlukan. Tangisan adalah cara bayi memberitahu bahawa mereka perlukan sesuatu.

Sebagai ibu atau bapa baru, ada masanya anda mendapati sukar untuk menentukan apakah yang bayi anda perlukan. Adakah dia lapar, sejuk, haus, bosan atau sekadar mahu dipeluk? Dalam beberapa hari pertama, semasa anda belum tahu bagaimana hendak mengenal pasti keperluan bayi anda, tangisan ini boleh membuat anda rasa bimbang. Namun begitu, lambat laun anda akan mula mengecam gaya tangisannya yang berlainan dan setelah anda lebih mengenalinya, anda akan dapat memenuhi keperluannya.

Semasa membesar, bayi juga akan mempelajari lain-lain cara untuk berkomunikasi dengan kita. Mereka menjadi lebih cekap menyatakan sesuatu dengan menggunakan kontak mata, membuat bunyi-bunyi tertentu, dan juga dengan senyuman. Semua ini dapat mengurangkan keperluan untuk menangis.

Sebab-sebab biasa bayi menangis ada disenaraikan di bawah. Jika bayi anda sukar ditenangkan, cubalah panduan ini satu persatu. Dengan cara ini, anda akan rasa lebih lega kerana telah cuba memenuhi keperluannya sebaik yang mungkin.

1. Saya perlukan makanan
Lapar adalah sebab utama bayi menangis. Bayi yang lebih kecil lebih berkemungkinan menangis kerana lapar, kecuali dalam tempoh satu atau dua hari selepas dilahirkan kerana pada ketika ini dia hanya minum sedikit sahaja. Jika anda mengamalkan penyusuan badan, anda mungkin sedar akan perkara ini, kerana susu awal atau kolostrum yang sangat pekat dikeluarkan dalam jumlah yang sedikit. Anda juga mungkin sedar bahawa susu mula keluar dengan banyak sekitar hari ketiga.

Perut bayi yang kecil tidak dapat menyimpan begitu banyak. Oleh itu, dia akan kerap lapar. Jika bayi anda menangis, cuba berikan dia susu kerana besar kemungkinan dia sedang lapar. Dia tidak akan berhenti menangis dengan serta merta, tapi teruskan penyusuan jika dia mahu, dan dia akan mula bertenang apabila perutnya terisi.

Walau bagaimanapun, jika bayi anda sudah disusukan dan dia masih menangis, mungkin dia menyatakan keperluan seterusnya.

2. Saya perlukan keselesaan
Bayi sudah tentu akan membantah jika baju mereka terlalu ketat atau jika lampin kotor membuatkan mereka rasa tidak selesa. Setengah bayi tidak begitu cerewet. Lampin yang penuh mungkin tidak mengganggu mereka. Tetapi sesetengah bayi akan menjerit dan minta lampin ditukarkan dengan segera, terutama sekali jika kulit mereka terasa gatal atau tidak selesa.

Memeriksa lampin bayi dan menukarkannya mungkin akan memenuhi keperluannya, jadi eloklah dicuba. Ia juga memberi peluang untuk anda memeriksa yang lampinnya tidak terlalu ketat atau tiada perkara lain melibatkan pakaiannya yang membuatkan dia tidak selesa.

3. Saya perlu kehangatan - tidak terlalu panas atau terlalu sejuk
Setengah bayi baru lahir tidak suka ditukarkan lampin atau dimandikan. Mereka tidak biasa merasa udara menyentuh kulit mereka dan lebih suka dibalut panas. Jika bayi anda seperti ini, anda akan cepat tahu bagaimana hendak menukarkan lampin dengan segera supaya bayi anda boleh bertenang semula.

Berhati-hatilah supaya tidak memakaikan terlalu banyak lapis baju, sehingga dia akan terlalu panas. Satu petua ialah dengan mengingati yang dia memerlukan satu lapis pakaian lebih daripada anda untuk rasa selesa. Jika dia berada di katil bayi atau bakul bayi, cuba gunakan cadar atau selimut berlubang-lubang sebagai alas tilam dan bukannya selimut tebal supaya anda boleh menambah atau membuang satu lapisan apabila perlu. Anda boleh memeriksa samada bayi anda terlalu panas atau sejuk dengan menyentuh perutnya: jika dia terasa terlalu panas, buangkan satu lapisan selimut, jika dia sejuk, tambah satu. Jangan berpandu kepada suhu tangan atau kakinya kerana adalah normal bagi kaki dan tangan terasa agak sejuk.

Kebanyakan farmasi di Malaysia ada menjual termometer. Anda boleh menggunakannya untuk mengambil suhu badan bayi jika kurang pasti. Kekalkan suhu di bilik bayi anda pada 24 atau 25 darjah C, dan letakkan dia menelentang dengan kaki di hujung katil bayi supaya dia tak boleh bergolek sehingga tenggelam di bawah selimut dan menjadi terlalu panas.

4. Saya perlu dipeluk
Setengah bayi sangat suka dipeluk dan dimanjakan. Bayi yang lebih besar akan menjadi tenang jika dia boleh nampak anda dan mendengar suara anda dalam bilik, tetapi bayi yang baru lahir lebih memerlukan sentuhan fizikal untuk menjadi selesa. Jika anda telah memberi bayi makan dan menukar lampinnya, anda akan dapati bahawa sekarang dia hanya mahu dipeluk.

Setengah ibu dan bapa bimbang bayi mereka akan menjadi terlalu manja jika didukung berlebihan, tetapi sebenarnya, dalam bulan-bulan pertama kehidupannya, perkara ini agak mustahil. Sesetengah bayi tidak perlu terlalu banyak sentuhan fizikal, manakala yang lain mahu dipeluk hampir sepanjang masa. Jika bayi anda perlu banyak didukung, anda mungkin mahu mencuba gendongan bayi, yang membolehkan bayi berada rapat dengan anda dan membebaskan tangan anda untuk membuat kerja lain. Ini mungkin jalan terbaik bagi anda berdua.

5. Saya perlukan rehat
Memang mudah bagi kita menyangka yang bayi akan tertidur apabila mereka mengantuk, tidak kira di mana mereka berada kerana kebanyakan bayi berbuat demikian. Tetapi, jika bayi anda telah mendapat terlalu banyak perhatian - mungkin hari itu sibuk dan ramai pelawat datang ke rumah - dia mungkin terlalu terangsang dan mendapati sukar untuk "tutup suis" dan bertenang.

Bayi baru lahir mendapati sukar untuk mengurus rangsangan yang terlalu banyak pada satu-satu masa hingga boleh menjadi gelisah. Cahaya lampu, bunyi bising dan saudara mara yang masing-masing mahu menarik perhatiannya cukup membuatkan dia resah.

Ramai ibu bapa mendapati bayi menangis lebih daripada biasa apabila saudara mara datang melawat, atau apabila petang menjelma. Jika anda tidak nampak sebab tertentu mengapa bayi anda menangis, dia mungkin cuba memberitahu anda, "Saya dah tak tahan lagi". Jika anda bawa dia ke tempat yang tenang dan senyap, kurangkan ransangan secara perlahan, dia mungkin akan mengeskspresikan perasaannya dengan menangis sekejap sebelum betenang dan terus tidur.

6. Saya perlukan sesuatu untuk membuat saya rasa lebih sihat
Jika anda telahpun memberi bayi makan dan memastikan dia selesa, tetapi dia masih terus menangis, anda mungkin tertanya-tanya samada dia sakit atau mengalami kesakitan. Mereka yang baru bergelar ibu atau bapa sering mendapati sukar untuk mengetahui samada bayi mereka menangis kerana dia adalah bayi yang tidak gembira (sesetengah bayi begitu, dan mereka mengambil masa yang panjang untuk menyesuaikan diri untuk hidup di dunia) atau samada memang ada sesuatu yang tak kena.

Bayi yang sakit lazimnya menangis dengan suara yang berlainan daripada tangisan biasa. Tangisan kesakitan mungkin berbunyi cemas atau nyaring.

Begitu juga dengan bayi yang sering menangis; sekiranya dia mula diam, ini mungkin petanda yang dia kurang sihat. Yang paling penting untuk diingati ialah tiada siapa yang mengenali bayi anda seperti anda sendiri. Jika anda rasa mungkin ada masalah tertentu, hubungilah pakar pediatrik atau doktor keluarga anda.

Pakar perubatan profesional lazimnya akan menimbangkan kebimbangan anda secara serius, dan anda akan merasa lebih tenang jika diberitahu tiada sebab fizikal bayi anda menangis. Anda perlu menghubungi doktor jika bayi anda mengalami kesesakan nafas apabila menangis, atau jika tangisan diikuti dengan:
7. Saya perlukan sesuatu ... tetapi saya tak tahu apa yang saya mahu
Kadang-kala anda mungkin tidak dapat menduga apakah masalahnya apabila bayi anda menangis. Ramai bayi baru lahir melalui masa-masa apabila dia meragam dan sukar dipujuk. Keadaan tidak gembira atau tangisan yang sukar dipujuk ini boleh berlangsung selama beberapa minit atau beberapa jam. Tangisan yang tidak berhenti selama beberapa jam ini juga dikenali sebagai kembung atau kolik.

Kembung atau kolik didefinisikan sebagai tangisan yang tidak dapat ditenangkan yang berlangsung selama sekurang-kurangnya tiga jam sehari, tidak kurang daripada tiga hari dalam seminggu. Ramai ibu bapa mendapati sukar untuk menguruskan bayi yang menghidap kolik, dan keadaan itu boleh menyebabkan ketegangan bagi seluruh keluarga.

Tiada rawatan ajaib bagi kolik, tetapi keadaan itu tidak akan berlanjutan lebih dari tempoh tiga bulan. Jika anda sentiasa boleh mengingatkan bahawa keadaan bayi anda itu akan pulih apabila dia membesar, anda mungkin rasa lebih lega.

Anak saya sedang menangis. Apa yang harus saya lakukan?

Ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk cuba menenangkan bayi yang menangis. Tidak semuanya berkesan untuk semua bayi, jadi anda perlu memahami bayi anda sedikit demi sedikit untuk mengetahui apa yang sesuai baginya dan bagi anda.

Bedungkan dia dan peluk dengan kuat
Bayi baru lahir menunjukkan kegemaran untuk rasa rapat dan selamat, sama seperti masa di dalam rahim, jadi anda mungkin mahu cuba membedungkan bayi anda dengan selimut dan memerhatikan samada dia suka dibedung. Ramai ibu dan bapa juga mendapati bahawa memeluk bayi rapat, terutama sekali apabila bayi boleh mendengar denyutan jantung ibu bapa, atau meletakkan bayi dalam gendongan menyamankan. Sesetengah bayi yang lain pula mungkin merasa bedung terlalu menyekat dan lebih sukakan lain cara untuk ditenteramkan seperti dibuai atau dinyanyikan.

Dapatkan ritma yang sekata
Dalam rahim, bayi anda boleh mendengar denyutan jantung anda: itu satu sebab bayi masih suka dipeluk rapi. Walau bagaimanapun, bunyi-bunyi lain yang teratur dan berulang boleh juga mendatangkan kesan tenteram. Anda boleh cuba memainkan muzik yang lembut atau menyanyi senandung buaian. Ramai ibu bapa mendapati yang bayi mereka boleh mendengar ritma mesin basuh yang teratur atau bunyi bercorak 'hingar putih' yang dihasilkan oleh pembersih vakum atau pengering rambut, yang dapat membuatkan mereka tertidur. (Jangan sekali-kali meletakkan bayi anda di atas mesin basuh atau pengering kain pada bila-bila masa sekalipun. Sebaliknya, letakkan dia di atas lantai berdekatan dengan mesin tersebut.)

Buai-buaikan bayi
Kebanyakan bayi suka dibuai perlahan-lahan, dan anda mungkin dapati bahawa bayi anda boleh ditenangkan dengan cara ini, iaitu samada dengan mendodoinya sambil berjalan atau meletakkannya di pangkuan sambil anda duduk di kerusi goyang. Buaian bayi yang khas atau kain gendong tradisional boleh menenangkan sesetengah bayi, manakala sesetengah yang lain pula lebih selesa jika bergerak dengan laju dan terus tertidur apabila dibawa berjalan dalam kereta.

Cuba kaedah urutan
Mengurut bayi atau menggosok belakang atau perutnya dengan perlahan boleh membantu menenangkannya. Jika anda nampak dia seperti dalam kesakitan akibat angin, cuba susukan dia dalam posisi tegak dan tepuk belakangnya dengan lembut selepas penyusuan dengan menyandarkannya di bahu anda. Bayi yang menghidap kolik kadang-kala rasa selesa jika perut mereka digosok, dan anda pun akan berpuas hati sebab sekurang-kurangnya telah mencuba membantu bayi yang cemas.

Biarkan dia menghisap sesuatu
Bagi setengah bayi baru lahir, dorongan untuk menghisap amat kuat dan menghisap puting atau jari (yang bersih) atau ibu jari boleh mendatangkan memberi ketenangan. "Hisapan penyelesa" boleh mengaturkan kadar denyutan jantung bayi, merelakskan perutnya dan membantu dia bertenang.

Jangan menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadap diri anda
Bayi yang menangis tidak berhenti-henti tidak akan memudaratkan dirinya dalam jangka masa panjang, tetapi mungkin menyebabkan banyak stres dan kebimbangan bagi ibu bapanya. Jika bayi anda kelihatan tidak gembira dan menolak sebarang usaha anda untuk menceriakan atau menenangkannya, ini mungkin membuatkan anda rasa kecewa. Ibu bapa sering menyalahkan diri sendiri. Mereka merasakan bahawa ketidakcekapan mereka sebagai ibu bapalah yang menyebabkan bayi mereka menangis. Tetapi ini bukan hakikatnya.

Jika anda sudah pasti keperluan bayi anda telah dipenuhi dan tiada perkara fizikal yang menyebabkan bayi anda menangis, dan jika anda telah mencuba segala-galanya untuk menenangkannya tetapi tiada yang berhasil, sudah tiba masanya bagi anda menjaga diri sendiri supaya anda tidak rasa tertewas. Di sini diberikan beberapa cadangan:
  • Tarik nafas panjang.
  • Letakkan bayi anda di satu tempat buat sementara dan biarkan dia menangis untuk seketika tanpa didengari oleh anda.
  • Jika membantu, mainkan muzik yang nyaman dan relakskan diri sendiri untuk 10 minit.
  • Panggil kawan atau saudara untuk mendapatkan sokongan. Berehatlah buat sementara dan biarlah orang lain menjaga bayi anda untuk sekejap.
  • Cari kumpulan sokongan atau kumpulan ibu-dan-bayi di mana anda boleh berkongsi perasaan anda dan berbincang dengan ibu bapa baru yang lain tentang cara untuk menangani tangisan bayi. Direktori A-Z kami mungkin mempunyai sumber yang boleh membantu anda.
  • Ingatkan diri anda bahawa bayi anda tiada mempunyai sebarang masalah dan tangisan itu tidak akan mencederakan dia. Kadangkala cuma dengan menerima kenyataan yang anda mempunyai bayi yang banyak menangis akan membantu, sebab anda tidak akan membuat diri anda letih dengan mencari-cari sebab-sebab tangisan itu, menyalahkan diri anda, atau melakukan pelbagai rawatan yang tidak berkesan.
  • Ingatkan diri anda bahawa ini fasa sementara dan akan berlalu.
  •  
Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir merupakan tugas yang berat. Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir yang banyak menangis adalah tugas yang lebih berat lagi. Dapatkan bantuan dan sokongan apabila anda memerlukannya, jangan tunggu sampai masalah itu menjadi teruk. Dan bertenanglah dengan mengingatkan bahawa setiap hari, apabila bayi semakin membesar, dia akan mempelajari cara-cara baru untuk mengkomunikasikan keperluan dia kepada anda. Secara perlahan-lahan, apabila dia mula berbuat demikian, tangisan itu akan berhenti.


------------------------------------------------------------
Saya adalah wakil Shaklee anda untuk penghantaran serata Malaysia. Hubungi saya di feeza.k@gmail.com atau 0133602633 untuk sebarang pertanyaan.

1 comment:

  1. Memang merisaukan bila anak menangis tanpa henti kan sis. Kita sebagai ibu tak boleh tidur malam. Memang ada banyak sebab anak menangis, selain sebab susu formula, botol susu pun memainkan peranan. Pilihlah jenama susu yang bagus seperti susu bayi enfagrow, dan banyak lagi jenama lain. Botol susu kalau pakai yang mahal sikit untuk anti colic. Berbaloi

    ReplyDelete